Archive for January, 2007

Moh Berpantun

Tuesday, January 30th, 2007

satu campur dua jumlahnya tiga

diajar oleh cikgu zaitun

tak ku sangka tak ku duga

aku bertanding di gelanggang  pantun

————————————————————————

pisang emas dibawa belayar

masak sebiji di atas peti

jangan nanti terketar-ketar

pantun dijual gagal dibeli

———————————————————————–

pai siton pai sinyak (pergi ke sana pergi ke sini)

tercai-cai cabai dan lado (tercari-cari cabai dan lada)

baco buku banyak-banyak (baca buku banyak-banyak)

bulio batambah ilmu didado (boleh bertambah ilmu di dada)

Jangan "terkezut" membaca blog aku hari ini yang dimulai dengan pantun. Sebenornya petang hari Isnin yang lepas aku menghadiri sesi penerangan Festival Pantun Korporat 2007 di MTC (Pusat Pelancongan Malaysia) di Jalan Ampang. Ya jangan tak percaya aku bakal menyertai pertandingan pantun mewakili syarikat. 

Dunia Tanpa Sempadan

Friday, January 26th, 2007

Hari ini aku ingin berbicara mengenai "Dunia Tanpa Sempadan". Pelbagai teknologi terkini terutamanya "internet" telah memungkinkan hal ini berlaku. Kalau di zaman dahulu manusia memerlukan masa yang lama untuk menyampaikan sesuatu mesej, tetapi sekarang amat pantas sekali. Hanya dalam beberapa minit malahan saat mesej boleh disampaikan kepada seseorang yang beribu-ribu batu jauhnya.  E-mel dan Instant Messenger Yahoo misalnya. Dengan menghantar e-mel kepada Kimie, seorang penuntut Malaysia di Moscow, kami boleh berkomunikasi dengan cepat dan saling berkiriman apa jua dokumen. Dengan Yahoo Mesenger pula kami boleh berkomunikasi secara interaktif. Boleh pula aku mengirimkan foto-foto yang diambil semasa aku berada di Moscow dahulu.

Internet ini satu teknologi yang sangat hebat. Ia memungkingkan pelbagai faedah-faedah kepada umat sejagat. Sungguh beruntung penuntut-penuntut Malaysia yang berada di perantauan sekarang ini. Jika memerlukan wang boleh kirim e-mel atau sms kepada keluarga di Malaysia. Kemudian boleh transfer duit secara online tidak kira samada waktu perbankan telah ditutup sekalipun. Mudah untuk membaca berita atau suratkhabar tempatan yang boleh dicapai secara online. Boleh pula berkongsi-kongsi gambar dengan famili dan rakan-rakan melalui pelbagai "web hosting" seperti "friendster" ini.

Teringat aku ketika "outstation" ke beberapa negara seperti Rusia, Belanda, Perancis, Australia dan Arab Saudi atas urusan kerja beberapa tahun yang lalu. Dengan menggunakan kad ATM bank, Maybank, aku boleh mengeluarkan wang di negara-negara tersebut. Tidak perlu aku membawa wang tunai yang banyak ditangan atau guna cek kembara (travellers cheque) yang tidak aku gemari. Dengan satu panggilan kepada pihak bank meminta diaktifkan penggunaan ATM di luar negara urusan aku semakin mudah. Di Jeddah pula misalnya, aku boleh menggunakan kemudahan buku Tabung Haji.

Walaupun aku berada beribu-beribu batu dari Malaysia seperti Belanda dan Australia tetapi aku seolah-olah berada di Malaysia. Boleh keluar duit guna ATM, boleh bercakap-cakap melalui telefon dan sebagainya. Begitulah pesatnya bidang telekomunikasi dan ICT dewasa ini. Jadi kepada sesiapa yang keluar negara gunakanlah kemudahan yang ada agar urusan menjadi mudah dan cepat.

Pengangkutan Awam di Malaysia

Wednesday, January 24th, 2007

Semalam aku ada tugasan di luar pejabat iaitu di Seremban. Kerana malas nak memandu aku pun memilih untuk menggunakan pengangkutan awam iaitu komuter. Dari stesen Batu Tiga ke Seremban dengan "transit" di stesen KL Sentral. Sebelum ini jangkamasa perjalanan tidak melebih dua jam. Tetapi semalam entah kerana masalah teknikal yang tidak ku ketahui jangkamasa perjalanan telah melebihi tiga jam. Untuk menghilangkan rasa kekecewaan di hati aku tekun membaca sebuah buku hasil karya Dato’ Abdullah Hussain yang bertajuk "Perjalanan Mencari Hikmah".

Aku pun sering tidak faham kenapa pengangkutan awam di Malaysia seringkali menjadi kritikan dan masalah kepada pengguna. Apakah kita kekurangan kepakaran teknikal? Apakah tahap disiplin dan rasa tanggungjawab pihak terlibat yang rendah? Yang menyebabkan pengangkutan awam di Malaysia kerap tidak mengikut jadual. Yang menyebabkan berlakukanya kemalangan-kemalangan yang tidak diingini. Aku sebenarnya tersangat bingung memikirkan pelbagai masalah yang berlaku berkenaan pengangkutan awam di Malaysia. Mungkin ada sesiapa yang boleh memberi pendapat dan pandangan bernas mengenai hal ini. :)-

Pengalamanku ketika menggunakan pengangkutan awam di luar negara sungguh menyeronokkan. Di Paris (http://www.pbase.com/drf/paris_subways), selama hampir dua minggu di sana tidak pernah kelewatan jadual. Bak kata Mat Sallehnya, "Always On Time". Di Moscow, stesen-stesen Metro bawah tanahnya sungguh mempesonakan - cantik dan bersih sehingga digelarkan "Istana Rakyat" atau "the people’s palaces". Sila lawat ke URL - http://www.moscow-taxi.com/sightseeing/metro.html, untuk melihat kebenarannya. Aku pun tidak melepaskan peluang merakamkan beberapa keping gambar di stesen Metro yang indah dan elegan tersebut. Begitu juga di Amsterdam dan London. Tidak perlu pergi terlalu jauh. Kemudahan pengangkutan awam di negara jiran kita Singapura terlalu jauh perbezaannya dengan di negara ini.

Diharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memperbaiki kemudahan pengangkutan awam di negara ini. Sebenarnya Malaysia telah memiliki infrastruktur pengangkutan awam yang canggih dan setara dengan negara-negara lain. Tetapi yang masih menjadi kekurangan ialah dari segi "maintainance" dan "attitude".   

Tabiat Membaca

Tuesday, January 23rd, 2007

Membaca merupakan salah satu hobiku. Aku memang amat minat aktiviti ini. Memandangkan harga buku sekarang agak mahal, aku hanya membeli buku-buku yang aku minat sahaja. Memandangkan aku meminati buku-buku bercorak politik dan biografi, maka buku-buku ini yang kebanyakannya dibeli. Sebahagiannya ku beli di luar negara ketika aku "outstation" seperti buku biografi Hillary Clinton di Lapangan Terbang Armsterdam dan buku biografi Mandela di Lapangan Terbang Johannesburg, Afrika Selatan. Selain harganya yang agak murah, pembelian buku tersebut boleh dijadikan sebagai satu kenangan, memoir atau sejarah hidupku.

Memandangkan minat membaca yang kuat dan harga buku yang agak mahal di negara ini, maka aku telah menjadi ahli Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada tahu lepas (2006). Semua anggota keluargaku juga aku daftarkan sebagai ahli. Setelah menjadi ahli maka aku boleh meminjam 3 buah buku untuk jangkamasa 3 minggu. Dengan menggunakan kad isteriku, aku boleh meminjam 6 buah buku. Maka bermulalah aktiviti pembacaan buku yang lebih aktif.

Setakat hari ini kebanyakan buku yang aku pinjam adalah dari genre biografi dan memoir pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita. Di antaranya ialah Memoir Pak Sako, Mustapha Hussein, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Rashid Maidin yang baru sahaja meninggal dunia pada tahun lepas, Abdullah CD, Keris Mas, A. Samad Ismail, Said Zahari, Abdullah Hussain, Dato’ Onn, Khatijah Sidek, Tan Sri Fatimah dan Lee Kuan Yew. Dengan membaca buku-buku ini aku cuba menyelami dan menghayati apa yang telah berlaku di negara kita ketika era pra kemerdekaan dan zaman darurat dahulu.

Banyak maklumat-maklumat yang aku perolehi terutamanya dari mereka yang terlibat secara lansung. Sebagai contoh, buku memoir A Samad Ismail dan Said Zahari memberikan kepadaku gambaran tentang Singapura di zaman sebelum merdeka dan tentang Utusan Malaysia yang sangat berjasa kepada bangsa Melayu. Di samping buku Memoir Keris Mas dan Abdullah Hussain yang juga menceritakan keadaan di Singapura mengikut pengalaman yang dilalui mereka. Memandangkan Singapura merupakan hub kewartawanan dan penulis-penulis negara kita, maka terselit juga kisah-kisah mereka seperti Rahim Kajai, Harun Aminurrashid, A Samad Said dan Usman Awang.

Melalui Memoir Abdullah Hussain, salah seorang sasterawan negara, dapat juga aku serba sedikit maklumat tentang P Ramlee yang mungkin tidak pernah diketahui umum sebelum ini. Buku-buku ini sangat wajar dibaca oleh rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu generasi muda agar sejarah perjuangan kemerdekaan dan perjuangan generasi dahulu dapat dihargai dan memberikan inspirasi. Banyak maklumat di dalam buku-buku seperti ini tidak tercatat dalam buku-buku sejarah di sekolah.

Di antara semua buku yang telah dipinjam dari PNM itu dan yang telah telah kubaca, buku "Warkah Eropah" oleh sasterawan negara A Samad Said merupakan sumber inspirasi bagiku untuk menulis. Beberapa coretan telah kutulis. Mungkin akan ku bukukan satu hari nanti, siapa tahu. :)-  Menulis blog ini juga merupakan satu aktiviti penulisanku.

Kepada adik-adik yang sedang berkelana di luar negara seperti UK, USA dan Rusia yang sedang menuntut ilmu, cubalah cari buku tersebut dan baca. Jadikan ia sebagai sumber ilham untuk mencatat dan menulis tentang pengalaman anda di rantau orang. Sudah pasti banyak pengalaman dan kenangan pahit manis yang boleh dikongsi bersama. Setidak-tidaknya jadikan ia sebagai memoir untuk anak cucu cicit. Curilah sedikit masa untuk menulis. Banyak kemudahan dewasa ini seperti blog misalnya.

Membaca itu amat penting kerana ia kunci segala ilmu. Islam juga amat menekankan aktiviti ini seperti yang tercatat dalam al-Quran. Maka marilah kita semua rakyat Malaysia menjadikan membaca sebagai amalan dan budaya agar bangsa kita menjadi satu bangsa yang bertamadun dan madani.

Aku juga baru sahaja menyudahkan pembacaan buku "Kenangan-kenangan Seorang Geisha" setebal 764 halaman yang ditulis Arthur Golden dan diterjemahkan oleh Abdul Latif Bidin dan kumpulan penterjemahnya. Sebuah buku yang menarik dan mengagumkan. Buku ini aku beli ketika mengahadiri satu majlis dialog berkenaan buku tersebut di DBP pada tahun lepas, 2006 di mana Abdul Latif adalah salah seorang ahli panelnya.

Cerita Tol

Monday, January 22nd, 2007

Semalam aku ke Seremban kerana ada tugasan di sana. Ketika pergi aku menggunakan lebuhraya dari tol NKVE Bukit Jelutong dan keluar di tol pertama Seremban. Nak tahu berapa jumlah tol aku kena bayar? kurang 50 sen RM10.00. Jarak yang tidak sampai 100 kilometer, tolnya 10 ringgit. Begitulah nilai duit sekarang ni. :)-

Waktu balik aku gunakan jalan lama dari Seremban ke Kajang melalui Mantin. Dari Kajang baru masuk lebuhraya Reko ke Shah Alam melalui Puchong. Dapatlah aku jimatkan duit tol hampir separuh. Jika masa bukan menjadi pokok utama, aku sarankan eloklah gunakan jalanraya atau laluan lama atau kampung. Terhibur juga ketika melalui kampung-kampung yang semakin membangun dan maju. Seperti mana aku tidak pernah melalui laluan Seremban ke Kajang melalui Mantin.

Memandangkan hari sudah mulai gelap ketika aku memandu satu pemandangan yang menakjubkan aku lihat. Pemandangan yang aku maksudkan itu ialah begitu banyak sekali kedai makanan tom yam yang dihiasi dengan lampu-lampu yang bergemerlapan. Cuba bayangkan di Negeri Sembilan yang terkenal dengan masakan lemak cili api, kedai-kedai makanan ala tom yam tumbuh bagai cendawan. Siapa akan sangka perubahan "urbanization" akan terjadi seperti itu.

Bukan aku menolak perubahan atau kemajuan seperti ini. Tetapi persoalan pokoknya adakah akan terjaga atau terbela makanan tradisi setiap etnik itu. Jawa dengan tempenye, Perak dengan tempoyaknya, Kelantan dengan budunya, Melaka dengan cencaluknya dan Kampar dengan "ompok’nya. Makanan tradisi setiap etnik wajar dibela dan dipelihara. Di samping makanan tradisi etnik lain kita cuba supaya lebih memperkayakan makanan-makanan tradisi di negara ini.

Cuba kita fikir-fikirkan .. Ada yang ingin memberi komen? Dipersilakan ..

Kick-Off 2007

Sunday, January 21st, 2007

Jumaat lepas aku menghadiri satu acara (event) yang diadakan oleh syarikatku di Hotel Summit. Acara itu dinamakan Kick-Off. Secara ringkasnya acara tersebut merupakan satu acara di mana semua pekerja syarikat mendengar amanat Pengerusi Eksekutif, Dato’ Helmi. Banyak maklumat yang diperolehi di samping kata-kata semangat dan peransang dari beliau supaya semua warga syarikat berusaha dan bekerja lebih gigih lagi.

Menurut beliau, "keuntungan syarikat merosot" kerana HeiTech umpama lilin "yang menerangi orang lain, tetapi lilin semakin pendek". Beberapa contoh telah diberikan untuk menerangkan situasi ini. Pada dasarnya, hal ini berlaku kerana HeiTech ingin membuktikan bahawa ia merupakan sebuah syarikat yang berwibawa dan memiliki integriti yang tinggi. HeiTech juga ingin membuktikan kepada semua bahawa ia adalah seorang pemain utama (key player) dalam industri ICT di negara ini.

Dato’ pengerusi juga mengingatkan semua supaya tidak "dibuai dengan kejayaan lampau" terutamanya projek-projek yang melibatkan agensi kerajaan. Keadaan telah berubah dan HeiTech perlu berubah katanya. Memang benar dahulu HeiTech dilihat sebagai "magician" tetapi tidak lagi sekarang. Sekarang pelanggan-pelanggan menganggap HeiTech tidak lebih dari sekadar "kontraktor".

Banyak lagi saranan-saranan dan nasihat dari Dato’ pengerusi yang diharapkan dapat menaikkan semangat semua warga HeiTech. Aku amat beruntung kerana dapat hadir ke majlis tersebut. Aku amat memerlukan satu suntikan untuk menempuh cabaran 2007 yang sudah pasti lebih mencabar dan hebat. Semoga tahun 2007 merupakan tahun yang cemerlang, gemilang lagi terbilang untuk diriku, keluargaku, syarikatku dan negaraku. Amin ya rabbil a’alamin.

Happy New Year!

Wednesday, January 3rd, 2007

Selamat menyambut Tahun Baru 2007. Semoga 2007 menyajikan lebih kisah-kisah dan peristiwa-peristiwa manis untuk semua terutamanya dunia yang semakin hari semakin tenat dengan kisah duka penghuninya. Perang sana, perang sini. Bunuh sana bunuh sini. Darah orang yang tidak berdosa menjadi saksi dan taruhan. Begitulah yang dinamakan manusia .. yang dikurnia Allah akal fikiran. Tetapi dek kerana dikongkong hawa nafsu, akal fikiran menjadi dangkal.

Tahun ini juga bermulalah alam persekolahan anak bongsuku, Fahim. Sungguh seronok dia nak ke sekolah Q-Dees. Cuma aku yang agak pening sikit. Al maklum kos perbelanjaan semakin bertambah. Begitulah kita di masa kini. Dunia semakin canggih dan terkini. Tetapi harga yang perlu dibayar sungguh mahal. Sebahagian tol semakin naik. Mungkin minyak jugak akan naik. Tapi ape nak buat .. Hadapilah dengan sabar dan tabah.

Dan tahun ini juga bermula sekolah dua sesi untuk anak-anakku Fikri dan Anis. Sorang kena sesi pagi, seorang lagi sesi petang. Bertambah lagi cabaran. Bayaran yuran dan buku untuk sekolah agama pun boleh tahan. Dua orang cecah RM400.00. Begitu berbezanya zaman anak-anakku dengan zaman persekolahan aku dahulu. Begitu kecil sekali kos perbelanjaan persekolahanku di tahun2 1970an. Belanja sekolah cuma hanya 20 sen, tetapi sekarang RM 2.00. Kanak-kanak di zaman ini mesti tak percaya.

Begitulah kehidupan kita yang berubah mengikut peredaran masa dan zaman. Di harap lebih banyak perubahan yang baik daripada sebaliknya.

Sekian dahulu untuk kali ini. Sebab nak pergi ambil anak dari sekolah. He he he ..