Archive for February, 2007

Menjengah Kota London

Monday, February 26th, 2007

Sudah hampir dua minggu aku tidak menulis blog. Kesibukan waktu dan cuti Raya Cina telah menyebabkan aku tidak berpeluang mencoret di blog ini. Tidak mengapa, hari ini aku mengemaskinikan blog ini.

Aku baru saja muatnaik (upload) beberapa keping foto sewaktu aku berkunjung ke kota London atas urusan kerja pada bulan Julai 2003 yang lalu. Aku ke London bersama Encik Jamal dari Matrade HQ untuk membuat ’site survey’ di pejabat Matrade London. Aku ke sana tidak lah lama lebih kurang selama 5 hari sahaja.

Itulah kali pertama aku menjejakkan kaki bukan sahaja ke kota London, tetapi benua Eropah. Akhirnya sampai juga aku ke sana. Siapa yang tidak kenal kota London. Puas juga aku meredah kota London dengan berjalan kaki terutamanya di sekitar Oxford Street dan Marble Arch. Cuma agak terkilan tidak berkesempatan untuk menyaksikan EPL terutamanya pasukan Chelsea, pasukan pilihanku. Lagi pun harga tiketnya yang agak mahal dengan tukaran nilai wang Malaysia. Tidak mengapa, mungkin aku akan berkesempatan di masa hadapan.

Ku akhiri blog ini dengan sajak berikut ..

London,
Kau sebuah kota hebat
Sesak dan padat
Warga pendudukmu bersendat-sendat
Berjalan kaki, berkereta, menaiki bas ke pejabat
Mahu sampai cepat
Tepati masa menjadi adat

London,
Namamu gah seantero dunia
Pelbagai cerita dan peristiwa
Pelbagai fesyen diperaga
Pelbagai ragam dan resam manusia
Pelbagai kisah suka duka
Insan miskin dan juga kaya
Yang miskin rempat merata
Yang kaya seronok berpesta

London,
Kau menjadi saksi
Pelbagai perjanjian dimeterai
Pelbagai persidangan dirasmi
Pelbagai pertandingan diadili
Pelbagai isu diteliti

London,
Sesungguhnya aku amat bertuah
Berkesempatan aku untuk menyinggah
Kota idaman semua mahu menjengah
Tersemat pengalaman yang indah-indah

 

SAHALASB
SHAH ALAM
27 FEB 2007, 10:10AM

Menulis Blog

Thursday, February 15th, 2007

Sungguh teruja membaca blog Ain hari ini. Ain adalah merupakan seorang rakan sekerja HeiTech.Satu permulaan yang bagus. Dapat menajamkan mata pena dan minda. Boleh dijadikan sebagai satu praktis menyampaikan pandangan dan perasaan di hati tentang sesuatu isu atau perkara. Sebenarnya kita dilahirkan dengan pelbagai bakat dan kebolehan. Justeru itu kembangkanlah bakat dan kebolehan diri. Tahniah kepada Ain!

Sajak - MASA

Tuesday, February 13th, 2007

Secara tiba-tiba aku mendapat ilham mencipta sebuah sajak di awal pagi yang bening ini. Berikut adalah sajaknya … masih ‘the first cut’ kata orang putih … akan kusunting (edit) di kemudian hari … dan insya allah bakal ku ‘antologi’kan …

Masa

Tatkala usia semakin meningkat
Tatkala umur semakin singkat
Tatkala uban semakin memutih
Tatkala badan semakin membongkok
Tatkala gigi semakin mereput
Tatkala kulit semakin melendut
Tatkala mata semakin rabun
Tatkala telinga semakin pekak
Kita semakin jauh … jauh perjalanan
Kita semakin banyak … banyak kenangan
Kita semakin faham … faham erti kehidupan
Kita semakin mengerti … mengerti kepayahan
Kita semakin mengejar … mengejar kebesaran
Kita semakin memburu … memburu keagungan
Kita semakin kaya … kaya pengalaman
Kita semakin miskin … miskin pengertian
Kita semakin ghairah … ghairah pada kebendaan
Kita semakin seronok … seronok pada kebebasan
Kita semakin pasrah … pasrah pada kegawatan
Kita semakin cemburu … cemburu pada kesibukan
Kita semakin sayang … sayang pada kemewahan
Kita semakin kasih … kasih pada kemuliaan
Kita semakin suka … suka pada kejayaan
Kita semakin benci … benci pada kepayahan
Kita semakin resah … resah pada kebenaran
Kita semakin gundah … gundah pada kejujuran
Kita semakin leka … leka pada hiburan
Kita semakin alpa … alpa duniawi
Kita semakin lupa … lupa ukhrowi
Kita semakin kesuntukan … kesuntukan masa
Kita semakin hampir … hampir pada kematian

Justeru itu
Janganlah kita membuang masa
Usahlah kita ditinggalkan masa
Biarlah kita memburu masa
Wajarlah kita memanafaatkan masa
Haruslah kita mencemburui masa
Masa itu emas
Demi masa
Sesungguhnya …
   manusia di dalam kerugian

SAHALASB
Shah Alam
14 Feb 2007, 2:00 pagi

Pertandingan Berbalas Pantun

Tuesday, February 13th, 2007

Arakian maka berbalas-balas pantun lah aku pagi (13 Februari 2007, Selasa) tadi di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC) di Jalan Ampang. Mengikut jadual, giliran pasukan HeiTech akan bermula pada pukul 10:00 pagi bertemu pasukan Alaf 21. Tetapi memandangkan hanya pasukan Astro dan HeiTech yang sudah datang maka HeiTech Padu lawan Astro, sepatutnya yang ke lima, telah didahulukan. Reza, bekas pelajar AF3 dan DJ radio ERA, merupakan pemantun yang pertama bagi pasukan Astro yang kesemuanya lelaki. Agak terkejut juga aku dengan kebolehan Reza dalam berpantun. Siapa sangka, buah cempedak menjadi nangka?.

Ini merupakan pengalaman pertama bagiku seumur hidup terlibat dengan pertandingan berbalas pantun. Begitu juga dengan Iwan, yang secara paksa rela, membuat penampilan sulung dalam pertandingan pantun. Rahmat, pemantun pertama HeiTech, sekurang-kurangnya pernah juga terlibat dengan pertandingan pantun sewaktu di sekolah dahulu. Tetapi walau bagaimanapun pengalaman pertama itu memang memberikan sesuatu yang selalunya manis. Apa tidaknya, mungkin dek kerana gugup dan kurang pengalaman kami semua pemantun HeiTech telah gagal membalas pantun dalam waktu yang ditetapkan di Pusingan Pertama. Sungguh lucu sekali. Tetapi kami bangkit di pusingan berikutnya. Seperti yang dikatakan tadi, dek kerana gugup dan kurang pengalaman gaya persembahan kami tidaklah begitu memberansangkan.

Namun demikian, persembahan kami semakin meningkat dari pusingan ke pusingan. Selepas berlawan dengan Astro, kami kemudian berentap pula dengan pasukan Alaf 21. Kami telah memberikan persembahan yang terbaik mengikut kemampuan kami. Iwan yang walaupun telah menjadi bidan terjun dan tidak sempat berlatih telah menunjukkan satu peningkatan yang mendadak di mana dia berjaya membeli 2 buah pantun dari pasukan Alaf 21 tanpa sebarang pertolongan. Kami bertanding hanya dengan dua pasukan kerana BSN, salah satu pasukan dalam kumpulan A, tidak menghadirkan diri.

Aku mendapat satu pengalaman yang sangat berharga dan berguna dengan menyertai Festival Pantun Korporat 2007 dalam kembara sasteraku. Dengan menyertai festival pantun ini maka semakin aku mendekati budaya Melayu dan memperbaiki jati diri Melayuku. Akan kutitip kenangan manis ini dalam diari hidupku. Bagai terasa satu kepuasan dalam diri. Sempat juga kami menonton pertandingan berbalas pantun yang hebat di antara TV3 dan Telekom Malaysia yang merupakan Naib Juara dan Juara pertandingan sulung pada tahun lepas. Di antara pemantun TV3 adalah Fitri dari program "Di Sebalik Malam".  Di antara kenangan lain yang bisa kukongsi sama ialah panggilan ‘abang misai’ yang dilekatkan kepada aku. :)-

Ingin juga kutitip satu peristiwa yang mebuatkan hatiku terkilan menjelang Festival Pantun Korporat 2007 ini. Sewaktu aku mencari-cari rakan sekerja HeiTech yang boleh menggantikan Sdra Roslan yang tidak dapat menyertai pertandingan tersebut, aku telah terpempan dengan satu susulan dari seseorang yang berpengalaman menyertai Festival ini agar HeiTech menarik diri kerana kekurangan pemantun. Aku ingatkan dia akan memberi semangat supaya jangan menarik diri atau sekurang-kurangnya berbasa basi untuk membantu mencari-cari pemantun. Rupa-rupanya penyertaan beliau di pertandingan pantun seumpama ini masih belum bisa membantunya menghayati budaya Melayu yang penuh sopan santun dan budi bahasa. Semoga ini memberi satu pengajaran yang amat berguna bagi diriku.

Besar jangan disangka abang,

Kecil jangan disangka adik.

Bertanding Pantun

Monday, February 12th, 2007

Resah juga seketika kerana seorang pemantun HeiTech tidak dapat menyertai pertandingan pantun pada 13 Februari 2007. Beliau terpaksa berada lebih lama di Sulawesi Utara atas urusan kerja. Jenuh jugalah hendak cari pengganti. Akhirnya berjaya juga ku pujuk Iwan untuk menjadi bidan terjun he he he .. Bukan demi aku tetapi demi HeiTech Padu, syarikatku.

Diharap pemantun-pemantun HeiTech dapat mencapai kejayaan di hari pertandingan. Semoga hilang rasa gusar dan dapat berpantun dengan tenang dan yakin. Semoga berjaya!

Seminar Pantun

Tuesday, February 6th, 2007

Semalam aku menghadiri Seminar Pantun 2007 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC). Seminar tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti Festival Pantun Korporat 2007. Sebagai seorang peserta atau pemantun mewakili syarikatku, HeiTech Padu Berhad, seminar tersebut amat penting dan berguna bagiku. Melalui seminar tersebut pelbagai maklumat mengenai pantun telah disampaikan oleh tiga orang pembentang jemputan yang pakar dan ahli.

Pembentang pertama adalah Dr Rosli Salaudin dengan tajuk "Pantun Pewaris Adat". Sungguh menarik beliau menyampaikan ceramahnya tentang pantun. Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa UPSI, telah menyampaikan pantun-pantun dengan cara menarik sekali. Beliau sangat pakar dalam "Teromba". Aku yakin ramai di kalangan masyarakat Melayu yang tidak tahu apa itu "Teromba" termasuklah aku he he he .. Secara ringkasnya setelah aku membuat penyelidikan, ia merupakan susunan kata-kata adat. Menurut beliau, kehebatan Melayu adalah bersandarkan atau berkait rapat dengan tiga perkara berikut - Agama iaitu Islam, Adat dan Bahasa. Jika ampuh ketiga-tiga perkara ini maka hebatlah bangsa Melayu, tetapi jika salah satunya tidak kuat maka hilanglah kehebatannya.

Berikut adalah beberapa buah pantun yang wajar kita selami maksud tersiratnya :

Adat kayu berdiri tegak

     Tegak berdiri besar bertambah

Adat Melayu bersendi syarak

     Syarak bersendi ke Kitabullah

————————————————————–

Pahat mana yang kita pegang

     Pahat besi bergagang kayu kayu

Adat mana yang kita pegang

     Adat jati orang Melayu

—————————————————————-

Urat mana yang kita cencang

     Urat kayu di tengah hutan

Adat mana yang kita pegang

Adat melayu zaman berzaman

Pembentang kedua pula adalah Dr Haji Ali bin Haji Mahmood dengan tajuk "Kaedah Penciptaan dan Penyampaian Pantun Yang Berkesan". Dua maklumat yang disampaikan yang ingin dikongsi sama di sini ialah :

1) Pantun merupakan asal kepunyaan Melayu betul mengikut kata Pendeta Za’ba. Maknanya, pantun bukan dipengaruhi atau diambil dari budaya masyarakat lain. 

2) Orang-orang Melayu sememangnya memiliki tahap intelektualiti dan pemikiran yang tinggi seperti yang dituntut oleh pantun.

Pembentang ketiga pula adalah seorang aktivis pantun dan penglipulara dari Johor. Sebagai seorang penglipurlara penyampaian beliau sungguh mempesonakan. Nama beliau ialah Tuan Haji Ali Badron bin Sabor. Menurutnya terdapat 18 sastera lisan dalam masyarakat Melayu. Beliau telah mengajar serba sedikit bagaimana membuat pantun yang baik.

Mengikuti seminar tersebut maka banyaklah perkara-perkara yang berkaitan warisan kita yang aku tidak tahu. Yang kurik itu kundi, bukan kendi seperti yang fahami. Kundi itu rupanya sejenis buah yang tidak boleh dimakan kerana beracun.

Rupa-rupanya masih banyak lagi yang aku tidak tahu tentang budaya orang-orang Melayu. Seharusnya aku malu menjadi seorang Melayu kerana tidak menghargai budaya dan warisan nenek moyang kita yang kaya dan banyak. Tidak dinafikan lagi nenek moyang kita adalah sangat bijak dan peka dengan alam persekitaran. Cuma masyarakat kini yang tidak dapat menilainya. Diharapkan generasi muda kita sedar dan bangga dengan warisan yang diwarisi mereka. Marilah kita membudayakan jati diri dan wajah warisan kita.

Kenang-kenangan Seorang Geisha

Tuesday, February 6th, 2007

Hujung minggu yang lalu iaitu pada 3 Februari 2007, aku menonton filem "Kenang-kenangan Seorang Geisha" yang berdasarkan kepada sebuah buku dengan tajuk yang sama yang ditulis oleh Arthur Golden dan dialih bahasa ke Bahasa Melayu oleh Latif Bidin. Cukup menarik ceritanya. Buku tersebut yang mempunyai halaman sebanyak 764 telah sempurna ku baca beberapa minggu yang lalu. Jadi lebih mudahlah aku mengikuti plot ceritanya.

Tidak perlulah aku ceritakan lebih lanjut tentang filem dan buku "Kenang-kenangan Seorang Geisha" ini yang judulnya dalam Bahasa Inggeris adalah "Memoirs of A Geisha". Aku menyarankan kepada mereka yang belum membaca buku atau menonton filem tersebut, bacalah atau tontonlah. Banyak yang boleh dipelajari terutamanya mengenai pengalaman hidup seseorang.

Aku telah menulis sebuah sajak tentangnya pada hari Isnin kelmarin, 5 Februari 2007. Sajaknya adalah seperti berikut :

Geisha

Kau Seorang Geisha

Kau seorang Geisha
Tersohor dan ternama
di sebuah negara yang kaya budaya
di sebuah negara yang penuh rahsia

Kau seorang Geisha
Terjebak tanpa kau pinta
dek kerana kemiskinan orang tua
dek kerana tiada upaya

Kau seorang Geisha
pengorbanan demi pengorbanan datang menduga
cabaran demi cabaran datang menjelma
ranjau kehidupanmu penuh warna

Kau seorang Geisha
Chiyo, namamu diberi keluarga
Sayuri, namamu diberi Mameha
derita dan tangismu di Okiya
Hatsumomo sering mendera
Puan Nitta hanya tahu berkira

Kau seorang Geisha
semangatmu kembali membara
selepas satu pertemuan tak diduga
Tuan Pengerusi menyapapu manja
usai sudah perasaan kecewa
lenyap sudah perasaan gulana
dek kerana kuasa cinta
kisahmu di daerah Gion pun bermula

Kau seorang Geisha
aku terpegun dan terpesona
kau berperang bagai seorang tentera
di sebuah medan peperangan bernama jiwa
jiwa bergolak jiwa lara
kau berpencak bagai seorang panglima
di sebuah gelanggang bernama minda
minda runsing minda gelora

Wahai seorang Geisha
perjalanan hidupmu yang berliku dikongsi sama
pelayaran cintamu yang berombak dibaca semua
pengorbanan dirimu yang beronak bukan lagi rahsia
noktah kehidupanmu sudah tiba
damailah hendaknya kau di alam sana

SAHALASB

SHAH ALAM - 5 Feb 2007

Raja Lawak

Thursday, February 1st, 2007

Memang benar rupanya muzik itu sangat berpengaruh kepada manusia. Itulah sebabnya apa jua yang berkaitan dengannya seperti penyanyi, kumpulan muzik dan lagu-lagu yang popular menjadi pujaan dan idola masyarakat terutamanya para remaja. Berbeza dengan komedi atau lawak. Tidak begitu ramai yang suka.

Mungkin inilah di antara sebabnya rancangan Raja Lawak tidak berapa gah seperti Akademi Fantasia. "Standup Comedy" agak asing di kalangan masyarakat di negara ini. Tak mengapalah itu semua. Yang penting aku meminati komedi atau lawak sejak dari remaja lagi. Itulah sebabnya dari remaja lagi aku minat menonton rancangan "sitcom" seperti "Threes Company", "I Love Lucy", "Everybody Loves Raymond", "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" dan sebagainya. Programnya pun tidak lama, setengah jam sahaja. Di antara "standup comedian" yang aku gemari ialah Eddie Murphy, Jerry Seinfield, Ellen de Generes, Rosie McDonalds dan beberapa lagi yang sudah lupa nama mereka. Tentang pelawak-pelawak Malaysia pula aku suka belaka terutamanya pelawak-pelawak zaman silam P Ramlee, A R Tompel dan S Shamsuddin serta geng-geng Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan Saiful Apek.

Aku harap rancangan Raja Lawak dapat melahirkan pelawak-pelawak yang bermutu tinggi dan profesional. Kehadiran mereka juga penting di dalam masyarakat terutamanya di zaman yang penuh tertekan ("presure") ini. Sekurang-kurangnya boleh melegakan tekanan kita. Jadi marilah kita sokong pelawak-pelawak tanahair.