Semalam aku menghadiri Seminar Pantun 2007 di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC). Seminar tersebut adalah sebahagian daripada aktiviti Festival Pantun Korporat 2007. Sebagai seorang peserta atau pemantun mewakili syarikatku, HeiTech Padu Berhad, seminar tersebut amat penting dan berguna bagiku. Melalui seminar tersebut pelbagai maklumat mengenai pantun telah disampaikan oleh tiga orang pembentang jemputan yang pakar dan ahli.
Pembentang pertama adalah Dr Rosli Salaudin dengan tajuk "Pantun Pewaris Adat". Sungguh menarik beliau menyampaikan ceramahnya tentang pantun. Beliau yang merupakan Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu Fakulti Bahasa UPSI, telah menyampaikan pantun-pantun dengan cara menarik sekali. Beliau sangat pakar dalam "Teromba". Aku yakin ramai di kalangan masyarakat Melayu yang tidak tahu apa itu "Teromba" termasuklah aku he he he .. Secara ringkasnya setelah aku membuat penyelidikan, ia merupakan susunan kata-kata adat. Menurut beliau, kehebatan Melayu adalah bersandarkan atau berkait rapat dengan tiga perkara berikut - Agama iaitu Islam, Adat dan Bahasa. Jika ampuh ketiga-tiga perkara ini maka hebatlah bangsa Melayu, tetapi jika salah satunya tidak kuat maka hilanglah kehebatannya.
Berikut adalah beberapa buah pantun yang wajar kita selami maksud tersiratnya :
Adat kayu berdiri tegak
Tegak berdiri besar bertambah
Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi ke Kitabullah
————————————————————–
Pahat mana yang kita pegang
Pahat besi bergagang kayu kayu
Adat mana yang kita pegang
Adat jati orang Melayu
—————————————————————-
Urat mana yang kita cencang
Urat kayu di tengah hutan
Adat mana yang kita pegang
Adat melayu zaman berzaman
Pembentang kedua pula adalah Dr Haji Ali bin Haji Mahmood dengan tajuk "Kaedah Penciptaan dan Penyampaian Pantun Yang Berkesan". Dua maklumat yang disampaikan yang ingin dikongsi sama di sini ialah :
1) Pantun merupakan asal kepunyaan Melayu betul mengikut kata Pendeta Za’ba. Maknanya, pantun bukan dipengaruhi atau diambil dari budaya masyarakat lain.
2) Orang-orang Melayu sememangnya memiliki tahap intelektualiti dan pemikiran yang tinggi seperti yang dituntut oleh pantun.
Pembentang ketiga pula adalah seorang aktivis pantun dan penglipulara dari Johor. Sebagai seorang penglipurlara penyampaian beliau sungguh mempesonakan. Nama beliau ialah Tuan Haji Ali Badron bin Sabor. Menurutnya terdapat 18 sastera lisan dalam masyarakat Melayu. Beliau telah mengajar serba sedikit bagaimana membuat pantun yang baik.
Mengikuti seminar tersebut maka banyaklah perkara-perkara yang berkaitan warisan kita yang aku tidak tahu. Yang kurik itu kundi, bukan kendi seperti yang fahami. Kundi itu rupanya sejenis buah yang tidak boleh dimakan kerana beracun.
Rupa-rupanya masih banyak lagi yang aku tidak tahu tentang budaya orang-orang Melayu. Seharusnya aku malu menjadi seorang Melayu kerana tidak menghargai budaya dan warisan nenek moyang kita yang kaya dan banyak. Tidak dinafikan lagi nenek moyang kita adalah sangat bijak dan peka dengan alam persekitaran. Cuma masyarakat kini yang tidak dapat menilainya. Diharapkan generasi muda kita sedar dan bangga dengan warisan yang diwarisi mereka. Marilah kita membudayakan jati diri dan wajah warisan kita.